Rumah Panjang Melanau Islam Matu, Sarawak
Saturday, June 23, 2012 | 10:07 PM | 0 comments
Rumah panjang Melanau Islam Kampung Sok, adalah satu-satunya rumah panjang Melanau yang ada di negara ini, malah satu-satunya di dunia. Seni bina rumah panjang ini hampir sama dengan rupa bentuk rumah panjang masyarakat Iban di sini, cuma rekaletak atau susun atur ruang bagi tempat tinggal keluarga terbabit agak berlainan sedikit. Setiap keluarga akan mempunyai unit kediaman yang berhadapan antara satu sama lain tetapi berkongsi kawasan atau bahagian tengah rumah itu (ruai) yang akan terbuka serta menghubungkan setiap unit kediaman keluarga di situ. Anjungnya yang mempunyai pelbagai kegunaan pula terletak di bahagian belakang rumah berdekatan dengan dapur, sebaliknya bagi konsep rumah panjang masyarakat Iban anjung terletak di hadapan rumah. Bagaimanapun konsep rumah seumpamanya kini tidak begitu diminat lagi oleh penduduk di sini kerana rekaletak atau susun aturnya menyukarkan usaha untuk menambah bilik atau ruang seiring dengan pertambahan bilangan ahli kelurga mereka. Malah jika mereka perlu menambah jumlah unit kediaman dalam rumah panjang ini pun, ia hendaklah dibina dengan tambahan dua unit sekali gus bagi setiap pertambahan baru, yang mana unit ini akan dibina berhadapan antara satu sama lain. Jika tidak dibina demikian maka rumah panjang ini tidak akan kelihatan lengkap sebaliknya akan kelihatan ganjil (mencacatkan rupa bentuk rumah panjang). Maka dengan pertambahan bilangan ahli keluarga penduduk di sini maka konsep rumah panjang ini tidak lagi praktikal untuk didiami sebaliknya mereka lebih suka membina rumah yang di atas lot-lot persendirian yang telah disediakan.