Destinasi Menarik
Taman Poket Dalat, Sarawak
Tuesday, June 19, 2012 | 3:44 AM | 0 comments

Hai. Petang ini kami ingin berkongsi tentang salah satu tempat menarik di Dalat iaitu Taman Poket. Sebelum itu, izinkan kami bercerita serba sedikit tentang Dalat. Dalat diisytiharkan sebagai sebuah daerah di Bahagian Sibu Pada 2 April 1974 dan pada 1 Mac 2002 pula Mukah telah diisytiharkan sebagai Bahagian ke-10 di Negeri Sarawak. Dengan pengisytiharan ini yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud, secara rasminya Daerah Dalat ditadbir oleh Bahagian Mukah. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini Dalat telah mengalami perubahan dari segi pembangunan. 

Pada awal tahun 2008 yang lalu Taman Poket telah siap dibina dan dibuka kepada kunjungan orang awam.Di tengah-tengah taman ini terletak Jerunai (klideng) yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Taman Poket Dalat merupakan sebuah kawasan riadah yang menjadi tumpuan seluruh kampung di Daerah Dalat. Taman ini sesuai dijadikan tempat riadah bersama keluarga pada hujung minggu. Bangku dan pondok disediakan di taman ini untuk kemudahan pengunjung. Terdapat juga Riverfront berdekatan dengan Taman Poket ini. Di sini, para pengunjung dapat merehatkan minda, berjoging dan sebagainya.
Jerunei atau Kelidieng merupakan tarikan utama di taman ini yang merupakan sebatang tiang yang berukuran satu sepemeluk. Ia diperbuat daripada kayu belian yang merupakan sejenis kayu keras yang tahan keadaan cuaca dan tahan sehingga ratusan tahun. Jerunei ini dipahat untuk menghasilkan bermacam-macam jenis ukiran. Ada yang dibuat dengan ukiran rumit yang mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan yang dibuat oleh tukang ukir orang Melanau.
Mengikut legenda, apabila seseorang raja itu meninggal, mayatnya tidak terus dikebumikan. Tetapi mayat raja tersebut disimpan di dalam keranda dan keranda tersebut disimpan di dalam pondok khas yang berdekatan dengan Jerunei itu. Setelah mayat raja tersebut reput, tulang-tulang raja tersebut dikumpulkan dan disimpan di dalam tempayan. Tempayan yang mengandungi tulang-tulang raja tersebut diletakkan di dalam lubang Jerunei. Semasa mengerjakan upacara itu, kaum kerabat raja yang meninggal itu akan membawa seorang anak perempuan hamba kepada raja tersebut. Anak perempuan hamba tersebut akan digantung di puncak Jerunei dan dibiarkan mati kebuluran. Ia bertujuan supaya roh anak perempuan hamba tersebut dapat melayan raja itu sebagaimana biasa dialaminya semasa hidup. Seterusnya seorang hamba lelaki dicampakkan ke dalam lubang Jerunei supaya roh hamba lelaki itu akan menjadi pengawal, pelayan dan tukang dayung kepada roh raja itu ketika perjalanan menuju alam kematian.
Jerunei berasal dari Kampung Seberang Tengah namun dipindahkan beberapa kali dalam tahun 1971 sehinggalah kali terakhir ia didirikan di hadapan Pejabat Daerah Dalat. Ia telah berusia menjangkau lebih daripada 100 tahun dan merupakan khazanah silam yang terakhir disimpan serta dijaga oleh penduduk Daerah Dalat di bawah kendalian Pejabat Daerah Dalat. Kini pada 28 April 2008, Jerunei tersebut telah dinaiktarafkan untuk dijadikan mercu tanda yang penting di kawasan Taman Poket Dalat untuk ingatan kaum Melanau terhadap bangsawan-bangsawan terdahulu di samping sebagai tarikan para pelancong.

Video ini menunjukkan pemandangan di Taman Poket Dalat.


Older Post | Newer Post
Navigations

Tentang Kami
Entri

Selamat Datang ke Sarawak
Sarawak Bumi Kenyalang :)

Holaaaaa
Hello semua. Ini adalah blog kami iaitu Ian Adib, Hazimah, Hamizah, Nadia, Fadhlin Syafiqah, Nur Nadia Najiah dan Nur Kharmila. Semoga kalian suka membaca blog kami ini :)

Bersembang di sini



Followers